Monday, January 23, 2012

WAJ3104 - Pengamatan Penglihatan


AKTIVITI PENGAMATAN PENGLIHATAN
1. Diskriminasi:
  • Kebolehan membezakan bentuk, saiz, huruf,warna nombor dan perkataan.
ü  Antara Tujuan : Membezakan perkataan, huruf dan nombor yang hampir sama yang hampir sama.

  • Kebolehan untuk menyamakan
ü  Antara Tujuan : melatih murid supaya dapatmencari ciri-ciri persamaan yang terdapat padaobjek, huruf, nombor, corak, dll

2. Ingat Kembali:
  • Kebolehan mengingat kembali apa yang diamati
  • Strategik
ü  Sediakan murid bahan maujud
ü  Minta murid menelitinya
ü  Tutup bahan tersebut
ü  Suruh murid menyebut kembali

3. Orientasi Kedudukan:
  • Kebolehan membezakan kedudukan sesuatu bentuk

4.Turutan:
  • Kebolehan mengingat sesuatu mengikut susunan seperti susunan huruf atau nombor

5. Menyudahkan atau melengkapkan
  • Kebolehan mengenal sesuatu nombor, benda ,objek, perkataan atau ayat

6. Menyalin
  • Kebolehan menyalin huruf, bentuk, perkataan,nombor atau ayat

7. Rajah atau Latar Bertindih
  • Kebolehan menentukan sesuatu sepertibentuk, huruf atau nombor dari latar belakangsesuatu rajah

8. Koordinasi mata-tangan
  • Kebolehan menyelaras pergerakan motor dantangan

9. Pertalian Jarak (ruang)
  • Kebolehan mengagak sesuatu saiz, jarak kiridan kanan secara hubungan antara satu objekdengan objek yang lain



10. Ketetapan Bentuk / Kedudukandalam Rajah
  • Kebolehan mengetahui sesuatu bentuk,huruf atau nombor yang mempunyai bentukyang tetap dan tidak akan berubah bentuknyadalam mana-mana keadaan

11. Gambar Bersiri
  • Kebolehan mengikuti cerita dari satu babak kebabak yang lain

12. Pembalikan
  • Kebolehan membezakan bentuk asal sesuatuhuruf, bentuk, nombo, perkataan dan gambar

13. Mazing atau mencari jalan keluar
  • Kebolehan menyelesaikan masalah

14. Benda Tersembunyi
  • Kebolehan menyelesaikan masalah secaraabstrak

WAJ3104 LITERASI BAHASA


KESEDIAAN MEMBACA


KONSEP
Kesediaan membaca bermaksud kemampuan seseorang untuk menerima pengajaran dari segi mental, emosi dan fizikal. Secara luas, kesediaan membaca melibatkan sebarang aktiviti sebelum sesuatu peringkat bacaan dimulakan, sama ada di peringkat mendirikan asas, mengukuhkan asas mahupun peringkat-peringkat lain yang lebih tinggi.
      Secara khusus, iaitu untuk kanak-kanak yang belum didedahkan dengan sebarang aktiviti bacaan, kesediaan membaca merangkumi kebolehan fizikal, emosi dan mentalnya untuk menerima pengajaran bacaan asas. Dari segi fizikal kemampuan kanak-kanak dapat dilihat dari sudut keupayaan alat-alat sebutannya menghasilkan bunyi-bunyi yang akan diajarkan, keupayaan matanya mengecam bentuk, dan keupayaan pendengarannya mengecam bunyi-bunyi. Dari segi emosi, kemampuan kanak-kanak dapat dilihat dari segi minatnya terhadap bahan-bahan bacaan (seperti bermain dengan bahan bacaan, membelek-belek bahan bacaan, melihat bahan bacaan, dan berminat melihat orang di sekitarnya membaca) dan minatnya untuk mendengar bacaan, khususnya yang berupa cerita. Dari segi mental, kemampuan kanak-kanak dapat dilihat dari segi keupayaannya mengingat apa-apa yang diberitahu dan kebolehannya menyatakan semula apa-apa yang telah diketahuinya.
      Dari segi umur, ada kanak-kanak bersedia membaca seawal umur empat tahun dan ada pula kanak-kanak hanya bersedia membaca setelah berumur enam tahun. Selain faktor fizikal, emosi dan mental, faktor persekitaran amat mempengaruhi kesediaan kanak-kanak membaca. Sebagai contoh, kanak-kanak yang terdedah dengan pelbagai jenis bahan bacaan sejak lahir, sentiasa melihat orang di sekeliling membaca dan ada pula orang yang membacakan buku cerita untuknya akan lebih cepat bersedia membaca berbanding dengan kanak-kanak sebayanya yang tidak mendapat peluang yang sama.
      Syed Abu Bakar (1994) menyatakan bahawa peringkat kesediaan membaca sangat penting. Menurutnya, “Jika tahap ini tidak dicapai terlebih dahulu, usaha untuk mengajarkan kemahiran membaca bukan sahaja sia-sia, malah boleh menimbulkan kesan yang amat buruk kepada kanak-kanak, ibu bapa dan guru.” Beliau berpendapat, konsep kesediaan membaca ini samalah dengan keadaan semula jadi yang dialami oleh kanak-kanak dalam perkembangan otot-otot tubuh mereka. Umpamanya sebelum mereka boleh berjalan, mereka perlu meniarap, merangkak dan berdiri terlebih dahulu. Kebolehan menggerakkan otot-otot tertentu mengikut urutan sebelum berjalan dapat dianggap sebagai pecahan kemahiran berjalan. Keadaan yang sama berlaku untuk kemahiran membaca, cuma bentuknya berbeza. Berdasarkan pandangan Syed Abu Bakar ini dapat kita rumusan perbandingan perkembangan kanak-kanak dengan peringkat-peringkat bacaan seperti yang di bawah.
berlari         =    mahir membaca peringkat inggi
   ñ                              ñ
berjalan       =    mahir membaca peringkat rendah
   ñ                              ñ
berdiri         =    aktiviti pengukuhan kemahiran asas membaca
   ñ                              ñ
merangkak  =    aktiviti mendirikan kemahiran asas membaca
   ñ                              ñ
meniarap     =    aktiviti kesediaan membaca      
AKTIVITI KESEDIAAN MEMBACA
Syed Abu Bakar (1994) mengkategorikan aktiviti kesediaan membaca kepada dua, iaitu peringkat prabacaan dan peringkat bacaan. Peringkat prabacaan meliputi kemahiran pengamatan pendengaran, kemahiran pengamatan penglihatan, aktiviti koordinasi psikomotor, latihan menajamkan daya ingatan, dan latihan bahasa pertuturan. Peringkat bacaan meliputi kemahiran mengenal abjad hingga membaca ayat.
      Menurut Ismail Zakaria, Salmah Othman dan Elly, Chong (1992) pula, tahap prabacaan merupakan satu tempoh menyediakan murid untuk membaca. Dengan perkataan lain, makna istilah tahap prabacaan dan kesediaan membaca adalah sama. Pada tahap ini murid didedahkan kepada aktiviti-aktiviti yang boleh mendorong mereka mempertingkatkan ketajaman penglihatan dan pendengaran. Penekanan juga perlu diberi kepada pengalaman yang membolehkan murid membentuk kelaziman membaca dari kiri ke kanan dan dari atas ke bawah. Untuk mencapai tujuan ini, aktiviti-aktiviti yang terdapat dalam Buku Sumber Bahasa Malaysia Tahun 1 (1983) dapat dimanfaatkan oleh para guru. Tiga kategori aktiviti disediakan, iaitu pengamatan penglihatan, pengamatan pendengaran, dan pergerakan tangan dan mata.

     
AKTIVITI PENGAMATAN PENGLIHATAN
Aktiviti Pengamatan Penglihatan 1
Menghimpun gambar benda maujud yang sama jenis, warna dan saiz.
Bahan
Pelbagai gambar kereta, baju, buku, lain-lain.
Aktiviti Murid
Murid mengelaskan gambar yang telah dicampuradukkan oleh guru. Aktiviti ini dilaksanakan secara individu, kelas dan kumpulan

Aktiviti Pengamatan Penglihatan 2
Menggunting dan menampal berbagai-bagai gambar mengikut tajuk di papan kenyataan atau di buku skrap kelas.
Bahan
Gambar benda hidup, benda bukan hidup, benda yang boleh dimakan, benda yang tidak boleh dimakan, pakaian, dan alat tulis-menulis.
Aktiviti Guru/Murid
1.     Guru berbincang dengan murid tentang benda hidup dan benda bukan hidup.
2.     Murid menyebut “benda hidup” atau “benda bukan hidup” sebagai respons terhadap kad benda yang diimbaskan oleh guru.
3.     Guru memberi murid kad gambar dan murid melekatkan kad itu di papan kenyataan mengikut tajuknya seperti benda hidup, pakaian, alat tulis-menulis dan lain-lain.
4.     Murid menggunting gambar dan menampalkannya dalam buku skrap mengikut tajuk tertentu.

AKTIVITI PENGAMATAN PENDENGARAN
Aktiviti Pengamatan Pendengaran 1
Mengetuk benda satu persatu untuk mendapatkan pelbagai bunyi dan mengecam perbezaan bunyinya.
Bahan
Paku, tin, batang kayu, meja, tempurung, batu.
Aktiviti Guru/Murid
1.     Guru memperkenalkan benda-benda yang menghasilkan bunyi seperti tin, paku, tempurung, batang kayu, meja dan batu.
2.     Guru mengetuk benda itu satu persatu beberapa kali dan murid mendengarnya.
3.     Guru mengetuk dua benda yang berlainan. Murid menyatakan sama ada bunyi benda itu sama atau tidak.
4.     Murid menyanyi lagu “Mari Bergembira” dengan meniru nyanyian daripada pita rakaman atau nyanyian guru sendiri.

Aktiviti Pengamatan Pendengaran 2
Mendengar rakaman dan menyatakan bunyi-bunyi alam seperti bunyi air mengalir, air menitik, angin kencang, angin menderu, petir, hujan lebat, dan ombak.
Bahan
Pita rakaman yang mengandungi bunyi air mengalir, air menitik, angin kencang, angin menderu, hujan lebat, dan ombak. Beberapa gambar carta yang dapat disesuaikan dengan bunyi-bunyi yang diperdengarkan.
Aktiviti Guru/Murid
1.     Guru memperdengarkan bunyi-bunyi daripada pita rakaman.
2.     Rakaman bunyi-bunyi itu diperdengarkan sekali lagi dan murid menyatakan jenis bunyi itu.
3.     Murid-murid lain memilih gambar yang sesuai dengan bunyi yang dinyatakan.


AKTIVITI PERGERAKAN TANGAN DAN MATA
Aktiviti Pergerakan Tangan dan Mata 1
Membentuk benda daripada plastisin, tanah liat atau bubur kertas dan lain-lain.
Bahan
Plastisin, tanah liat, dan bubur kertas.
Aktiviti Guru/Murid
1.     Buat satu atau dua benda daripada bahan yang diberi sebagai contoh.
2.     Berikan bahan kepada murid dan minta mereka membentuk benda atau model yang disukainya.
3.     Minta murid menceritakan hasil kerja mereka.

Aktiviti Pergerakan Tangan dan Mata 2
Melakar bentuk yang sesuai dari kiri ke kanan, dari kanan ke kiri dan dari atas ke bawah untuk membolehkan membentuk huruf.
Bahan
Lembaran kerja, benda maujud (dulang berpasir, model pokok, model tiang bendera, bola, manik, cawan, air), kertas pendua yang mengandungi perjalanan atau arah yang dibuat dengan garisan putus-putus.
Aktiviti Murid
1.     Murid menggolekkan bola di atas dulang berpasir dengan jari dari kiri ke kanan dan sebaliknya.
2.     Murid memegang cawan plastik yang penuh dengan air dengan tangan kanan dan menggerak-gerakkan tangan kanan mereka kiri ke kanan dan sebaliknya. Teknik memegang cawan dipelbagaikan.
3.     Murid membilang manik yang digantung dengan menggunakan jari dari atas ke bawah dan dari bawah ke atas.
4.     Murid melakar garis pada dulang pasir dari model pokok ke tiang bendera.

Oleh Mohd. Isa bin Abd. Razak


Wednesday, January 18, 2012

Tatabahasa Dewan


TATABAHASA DEWAN

SIRI 1:                   VARIASI BAHASA DAN BAHASA BAKU

Bahasa ialah kepunyaan masyarakat yang menuturkannya.  Makin besar jumlah penuturnya, makin luas daerah penyebaran bahasa itu, dan makin banyak pula perbezaan yang wujud dari segi penggunaannya.  Demikian juga halnya dengan bahasa Melayu.  Dalam rangka Malaysia, di Semenanjung Tanah Melayu sahaja sudah terdapat berbagai-bagai dialek, seperti dialek Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, dan Johor.  Demikian juga terdapat variasi-variasi bahasa Melayu yang wujud oleh sebab faktor-faktor sosial, seperti latar belakang pendidikan, jenis pekerjaan, dan kedudukan sosioekonomi penutur yang berbeza-beza.

Hakikat bahasa dan variasi-variasinya sudah lama diakui oleh ahli-ahli bahasa.  Namun apabila mereka merujuk sesuatu bahasa tertentu, misalnya bahasa Melayu atau bahasa Inggeris, mereka mempunyai gambaran tentang satu kesatuan bahasa, yang walaupun mempunyai berbagai-bagai kelainan, masih terdiri daripada satu keseluruhan.  Daripada beberapa variasi satu bahasa, satu variasi tertentu dipilih sebagai mewakili bahasa tersebut dan variasi inilah yang menjadi ukuran apabila kita merujuk sifat umum bahasa tersebut.  Dalam bidang ilmu bahasa, variasi yang dipilih untuk mewakili satu bahasa secara menyeluruh itu disebut bahasa standard atau bahasa baku.

Bahasa Melayu baku ialah variasi yang digunakan apabila orang-orang daripada berbagai-bagai dialek di negara ini berkumpul dan berbincang.  Dengan tujuan untuk difahami, tiap-tiap pihak berusaha menggugurkan ciri-ciri kedaerahan masing-masing dan menggunakan sedikit sebanyak variasi yang bersifat bahasa Melayu umum, yang dari segi sejarahnya berasaskan dialek bahasa Melayu Johor Riau.  Variasi ini, yang sekarang dikenal sebagai bahasa Melayu baku, ialah variasi yang digunakan dalam sistem pendidikan (bahasa sekolah), dalam semua situasi rasmi seperti dalam ucapan-ucapan, mesyuarat dan persidangan dan dalam media massa.

(Tajuk akan datang: Ragam Bahasa)

 TATABAHASA DEWAN

SIRI 2:                   RAGAM BAHASA

Bahasa Melayu mempunyai berbagai-bagai variasi dan ragam.  Secara umumya ia dapat dibahagikan kepada empat, iaitu:
(i)            Ragam bahasa Melayu lisan;
(ii)          Ragam bahasa Melayu tulisan;
(iii)         Bahasa-bahasa daerah; dan
(iv)         Laras-laras bahasa Melayu Moden.

Ragam Bahasa Melayu Lisan

Bahasa Melayu lisan ialah ragam bahasa yang digunakan ketika bercakap sesama sendiri.  Terdapat dua jenis ragam ini, iaitu jenis “cakap mulut”, yang digunakan antara orang-orang Melayu, dan “bahasa pasar”, ragam yang digunakan antara orang-orang Melayu dengan kaum atau bangsa lain atau antara kaum-kaum dan bangsa lain.

Susunan gaya bahasa cakap mulut itu mudah, dengan ayat-ayat yang ringkas dan perkataan-perkataan yang terpotong-potong atau tertinggal, misalnya tak  untuk tidak, nak  untuk hendak, dah  untuk sudah, kak  untuk  kakak dan sebagainya.  Kadang-kadang terdapat penggunaan perkataan yang tidak pernah digunakan dalam bahasa surat, misalnya kok  dan  dek, pulak  dan  jugak.

Bahasa pasar disebut juga “bahasa kacukan” kerana sememangnya satu sifat ragam bahasa ini ialah sifat kacukannya.  Dalam hal ini banyak terdapat unsur bahasa-bahasa asing yang digunakan.  Bahasa pasar ini ialah bahasa yang terdiri daripada perkataan-perkataan bahasa Melayu tetapi dengan jalan bahasa dan susuk ayat bahasa-bahasa lain, seperti bahasa Cina, bahasa Tamil, dan sebagainya.

Contoh bahasa pasar:
“Saya boleh ajar apa macam menjaga itu budak: tidak lama dia nanti cukup baik dan sihat.  Pertama-pertama itu budak kecil mesti selalu cukup bersih.  Nas boleh tunjuk apa macam mahu kasi mandi itu budak.  Lagi satu mesti ingat-ingat kasi itu budak makan dia punya emak punya susu saja, jangan susu lain.  Itu emak punya susu dia punya makan yang lebih baik sekali, lagi lebih bersih dan senang boleh dapat, tidak kena belanja.”
(Petikan daripada Pelita Bahasa Melayu)

Setengah-setengah daripada bentuk dan susunan ragam yang bukan bahasa Melayu ini telah begitu sebati dalam penggunaannya sehingga orang Melayu sendiri tidak sedar lagi akan keasingannya dan menyangka bahawa betuk-bentuk itu ialah bentuk-bentuk bahasa Melayu tulen, misalnya apa mahu, boleh bikin, kasi tahu, banyak mahal, sedikit masa, jagan bilang sama dia, itu macam, saya punya adik, dan sebagainya.

(Tajuk akan datang: Ragam Bahasa Melayu Tulisan (Bahasa Surat)


TATABAHASA DEWAN

SIRI 3:         Ragam Bahasa Melayu Tulisan (Bahasa Surat)

Ragam bahasa Melayu tulisan ialah variasi bahasa Melayu yang digunakan dalam konteks tulisan.  Susunan variasi ini lebih lengkap, tersusun, tinggi, dan halus sifatnya, dengan beberapa perkataan dan frasa yang jarang-jarang digunakan dalam bahasa Melayu lisan.  Demikian juga beberapa bunyi dilafazkan berbeza sedikit daripada variasi lisan, misalnya bunyi r.  Variasi bertulis ini menggunakan juga sistem imbuhan yang lengkap dan sempurna, dan jarang-jarang perkataan dipotong-potong seperti yang berlaku bagi variasi bahasa Melayu lisan.  Datang dari mana? Dan Anda tinggal di mana? tidak pernah mejadi Datang mana? Dan Tinggal mana?, misalnya.

Bahasa Melayu jenis bahasa surat ini digunakan hanya dalam konteks menulis dan dalam situasi-situasi formal.  Jika bentuk ini dibawa dalam perbualan biasa, kesannya agak janggal dan akan menjadi bahan tertawa.  Mengikut Za’ba, “jika ia orang Melayu dihitungkan dia mengada-ngada dan jika ia bukan orang Melayu maka dihitungkan dia orang yang tidak biasa bercampur dengan orang-orang Melayu”.

Bahasa-Bahasa Daerah

Yang dikatakan bahasa-bahasa daerah atau loghat atau dialek ialah jenis bahasa yang digunakan dalam percakapan di sesuatu daerah atau bahagian negeri yang mempunyai pelat sebutan yang khas bagi daerah itu yang berbeza pula daripada sebutan-sebutan umum yang digunakan di negara ini.  Antara ciri-ciri yang menjadikan satu bahasa daerah berbeza daripada yang lain termasuklah kepelatan bunyi sebutan, gaya lagu sewaktu menuturkannya, dan perbezaan dari segi perkataan dan ungkapan-ungkapan tertentu.

(Tajuk akan datang: Laras Bahasa Melayu Moden)

 
TATABAHASA DEWAN

SIRI 4:         Laras Bahasa Melayu Moden

Bahasa Melayu dapat memperkatakan apa sahaja bidang ilmu dan kegiatan selaras dengan kemajuan dunia masa kini.  Pada peringkat universiti hampir semua bidang ilmu diajarkan dalam bahasa Melayu, daripada bidang sastera, ekonomi, undang-undang, dan pertanian hingga kepada bidang kejuruteraan, fizik, perubatan, dan psikologi.  Demikian juga dalam konteks mata pelajaran di sekolah-sekolah dan institusi-institusi lain; semuanya dapat diperkatakan dalam bahasa Melayu.

Dalam bidang perhubungan sehari-hari, bahasa Melayu digunakan dengan luasnya untuk memperkatakan apa sahaja hal dan keadaan yang perlu diperkatakan, daripada yang sebiasa-biasanya kepada yang tinggi-tinggi dan rumit sifatnya.  Bahasa Melayu luas juga digunakan sebagai bahasa surat-menyurat rasmi, dalam perbincangan di Parlimen, dan sedang diusahakan untuk digunakan dengan luasnya di mahkamah-mahkamah dan sektor swasta.

Kesimpulannya, bahasa Melayu pada masa ini ialah satu bahasa yang berpotensi tinggi, yang benar-benar menjadi alat perhubungan penutur-penuturnya, alat untuk menyampaikan buah fikiran dan perasaan.  Dalam menjalankan tugas-tugas ini, bahasa Melayu telah banyak mengalami perubahan, membuat penyesuaian dari segi bentuk dan gaya, selaras dengan perkara yang diperkatakan dan suasana tatkala memperkatakan benda atau hal-hal tertentu.  Perkataan-perkataan yang digunakan berbeza, bergantung pada benda yang diperkatakan, sama ada tentang proses fizik, penyakit tertentu, falsafah, seni bina atau perlawanan badminton. 

Kalau kita membaca sesuatu petikan dan bertemu dengan perkataan-perkataan seperti separuh masa pertama, jaringan gol kedua, dan tendangan yang kuat, maka jelas perkara yang diperkatakan itu ialah sukan, khasnya bola sepak.  Dan jika terdapat perkataan-perkataan seperti saham, indeks perusahaan, dan pelabur, maka jelas bahasa ini merupakan bahasa Melayu yang sedang menghuraikan satu aspek bidang ekonomi, iaitu pasaran saham.

(Tajuk akan datang: Morfologi)

 
TATABAHASA DEWAN

SIRI 5:         MORFOLOGI

Morfologi ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji struktur, bentuk dan penggolongan kata.  Dengan struktur kata dimaksudkan susunan bentuk bunyi ujaran atau lambang (tulisan) yang menjadi unit bahasa yang bermakna.  Bentuk kata pula ialah rupa unit tatabahasa, sama ada berbentuk tunggal atau hasil daripada proses pengimbuhan, pemajmukan dan penggandaan.  Penggolongan kata ialah proses menjeniskan perkataan berdasarkan keserupaan bentuk dan/atau fungsi dengan anggota lain dalam golongan yang sama.  Morfologi bahasa Melayu ialah bidang yang mengkaji struktur, bentuk dan penggolongan kata dalam bahasa Melayu.

Unit-unit tatabahasa yang menjadi unsur perkataan disebut morfem.  Morfem ialah unit yang terkecil dalam bahasa yang berfungsi gramatis atau yang menjalankan tugas nahu.  Perkataan ialah bentuk bahasa yang terkecil juga, tetapi mengandungi makna yang lengkap dan dapat berdiri sendiri dalam ayat.

Sesuatu perkataan itu dibentuk daripada satu morfem atau lebih.  Perkataan ajar, misalnya, terdiri daripada satu morfem, tetapi perkataan mengajar pula mengandungi dua morfem, iaitu meng- dan ajar.  Ada perkataan yang mengandungi lebih daripada dua morfem.

Morfem boleh bersifat bebas atau terikat.  Morfem bebas ialah morfem yang dapat wujud bersendirian.  Sebaliknya, morfem terikat ialah morfem yang hanya wujud bersama-sama morfem lain.  Sebagai contoh, perkataan sekolah dan laut ialah morfem-morfem bebas, tetapi imbuhan  ber-  dalam bersekolah  dan –an  dalam lautan  ialah morfem-morfem terikat, oleh sebab unit-unit itu tidak boleh wujud tanpa kata dasar.

Kesimpulannya, proses pembentukan kata dalam sesuatu bahasa ialah proses penyusunan morfem menurut peraturan sistem morfologi bahasa itu.  Dalam kebanyakan bahasa proses pembetukan perkataan melibatkan pengimbuhan.

(Tajuk akan datang: Imbuhan)

 
TATABAHASA DEWAN

SIRI 6:         IMBUHAN

Imbuhan dimaksudkan unit-unit bahasa tertentu yang ditambahkan pada bentuk-bentuk lain yang menyebabkan perubahan makna nahunya.  Tercakup dalam imbuhan ialah bentuk-bentuk berikut:
awalan,
akhiran,
sisipan, dan
apitan.

Bentuk Imbuhan
Pengertian
Contoh

Awalan
Imbuhan yang ditambah pada bahagian hadapan kata dasar
ber-
berjalan
ter-
terambil
Akhiran
Imbuhan yang ditambahkan pada bahagian belakang kata dasar
-an
lautan
-kan
panjangkan
Sisipan
Imbuhan yang diselitkan di antara unsur-unsur kata dasar
-em-
g + em + uruh
(kata dasar guruh)
Apitan
Imbuhan yang ditambahkan serentak pada hadapan dan pada belakang kata dasar
ke-...-an
kedudukan
pe-...-an
pedalaman

Catatan:
Penjelasan lebih lanjut berhubung imbuhan ini akan dihuraikan dalam bab Kata Kerja, insya Allah.

(Tajuk akan datang: PERKATAAN )

 
TATABAHASA DEWAN

SIRI 7:         PERKATAAN

Perkataan ialah satu unit ujaran yang bebas dan mengandungi makna, yang terdiri daripada satu atau gabungan beberapa bentuk bunyi bahasa.  Perkataan dapat dijeniskan sebagai berikut:
kata tunggal,
kata terbitan,
kata majmuk, dan
kata ganda.

Kata Tunggal

Kata tunggal ialah bentuk kata yang terdiri daripada hanya satu bentuk kata dasar, yakni yang tidak menerima apa-apa bentuk imbuhan atau kata dasar yang lain.  Contohnya:     
itu
bakal

Kata tunggal terbahagi kepada dua jenis.  Jenis pertama, kata tunggal yang merupakan unit yang bebas dan dapat berdiri sendiri sebagai satu ayat.  Misalnya:
(i)            Itu?
(ii)          Bakal!
(iii)         Saya.

Jenis kedua ialah kata tugas, iaitu unit yang tidak dapat berdiri sendiri tetapi memerlukan sekurang-kurangnya satu unit yang bebas untuk melaksanakan tugas nahunya.  Sebagai contoh, bentuk-bentuk condong dalam contoh-contoh yang berikut ialah kata tugas:
(i)            di mana?
(ii)          untuk siapa?
(iii)         ke Johor

Kata akronim tergolong juga ke dalam kata tunggal.  Kata akronim ialah perkataan yang diterbitkan melalui proses penggabungan singkatan beberapa perkataan dan membentuk satu perkataan yang utuh.  Contohnya:
(i)       MARA         -        Majlis Amanah Rakyat
(ii)      pawagam      -        panggung wayang gambar

Kata Terbitan

Kata terbitan ialah bentuk kata yang mengandungi kata dasar yang mendapat atau menerima imbuhan, baik awalan, sisipan, akhiran atau apitan.  Misalnya:
mendukung  (men + dukung)
dipukul        (di + pukul)
makanan      (makan + an)
biarkan        (biar + kan)
mengakui     (meng + aku + i)
pertunjukan (per + tunjuk + an)
gemuruh      (g + em + uruh)

Kata Majmuk

Kata majmuk ialah bentuk kata yang wujud apabila dua kata dasar atau lebih dirangkaikan menjadi satu kesatuan sintaksis yang membawa makna tertentu.  Misalnya:
air mata
meja makan
kerani kanan
bedahari kehormat
sudut tepat

Kata Ganda

Kata ganda ialah bentuk kata yang dihasilkan dengan menggandakan atau mengulangi kata dasar sama ada kata ganda tersebut diulang secara keseluruhan atau pada bahagian-bahagian tertentu, dan dengan imbuhan atau tanpa imbuhan.  Misalnya:
kanak-kanak
lelaki
bertubi-tubi
membohong-bohongi
memperkecil-kecil

(Tajuk akan datang: PEMBENTUKAN KATA)

 
TATABAHASA DEWAN

SIRI 8:         PEMBENTUKAN KATA (a. Kata Tunggal)

Bahasa Melayu mempunyai beberapa cara membentuk perkataannya.  Ada bentuk bersifat tunggal, ada yang dibentuk hasil proses pengimbuhan, pemajmukan, dan penggandaan.

Bentuk Kata
Jenis/Keterangan
Contoh
Bentuk Kata Tunggal
(i)            Satu suku kata
*      amat terhad
*      antaranya pinjaman daripada bahasa-bahasa asing
yu, ru, am, cat, wang, bah, tin, bin, lap, sen, roh, jong, dan, stor, pruf, dril, gred, skel, brek, krim, trak, draf, dram.

(ii)          Dua suku kata
*      banyak dalam bahasa Melayu
aku, uda, apa, itu, ela, esa, iri, ubi, ibu, aib, air, aur, ais, adik, emas, ubat, alas, ikan, izin, orang, usang, ulat, ekor, undi, abdi, ambil, embun, dua, jua, jauh, liar, jala, beta, kapal, jarum, lampu, janji, bangsal, sunting.

(iii)         Tiga suku kata
*      agak kecil
*      pola-pola susunan konsonan-vokalnya agak banyak
*      banyak daripadanya kata pinjaman
cuaca, tiada, biawak, siamang, usia, semua, deria, tempua, keruan, sekian, mengkuang, bankuet, utara, aroma, ijazah, angkasa, menteri, ilmiah, akaun, belalang, tempurung, belanja, sempurna, kelongsong.

(iv)         Empat suku kata dan lebih
*      kebanyakannya kata pinjaman
biduanda, sederhana, laksamana, sentiasa, bidadari, salasilah, sentimeter, singgahsana, mesyuarat, universiti, kosmopolitan, maharajalela.



Selain kata-kata seperti di atas, kata akronim juga tergolong ke dalam jenis kata tunggal. 

Akronim ialah kata singkatan yang terbentuk dengan menggabungkan huruf awal suku kata atau gabungan kombinasi huruf awal dan suku kata daripada satu rangkai kata, dan ditulis serta dilafazkan sebagai kata yang wajar.





Bernama – (Berita Nasional Malaysia)
Gapena – (Gabungan Penulis Nasional)
Mara – (Majlis Amanah Rakyat)
ubahsuai – (ubah sesuai)
kugiran – (kumpulan gitar rancak)

Kata akronim boleh ditulis dengan tiga cara:

(i)     Akronim yang terbentuk daripada gabungan beberapa huruf awal rangkai kata yang disingkatkan, keseluruhannya ditulis dengan huruf besar, jika kata nama khas.



TH – (Tabung Haji)
ABIM – (Angkatan Belia Islam Malaysia)

(ii)    Akronim yang terbentuk daripada gabungan huruf awal dan / atau suku kata ditulis dengan huruf kecil keseluruhannya, jika bukan kata nama khas.
tabika – (taman bimbingan kanak-kanak)
ubahsuai – (ubah sesuai)
kugiran - (kumpulan gitar rancak)
purata - (pukul rata)

(iii)   Jika akronim yang terbentuk daripada gabungan huruf awal dan / atau suku kata itu menjadi kata nama khas, kata itu ditulis bermula dengan huruf besar.
Bernama – (Berita Nasional Malaysia)
Gapena – (Gabungan Penulis Nasional)
Mara – (Majlis Amanah Rakyat)
Pernas – (Perbadanan Nasional)
Intan – (Institut Tadbiran Awam Negara)
Petronas - (Petroleum Nasional)
Proton - (Perusahaan Automobil Nasional)
(Tajuk akan datang:  PEMBENTUKAN KATA (b. Kata Terbitan))


 TATABAHASA DEWAN

SIRI 9:         PEMBENTUKAN KATA (b. Kata Terbitan)

Bentuk Kata
Jenis/Keterangan
Contoh
Bentuk Kata Terbitan
Kata terbitan dihasilkan melalui proses pengimbuhan.  Berdasarkan kedudukannya pada kata dasar, imbuhan dapat dibahagikan kepada empat jenis:
(i)        awalan, yang hadir sebelum kata dasar;
(ii)      akhiran, yang hadir sesudah kata dasar;
(iii)     apitan, yang hadir secara mengapit kata dasar, iaitu dua bahagian imbuhan hadir serentak di awal dan akhir kata dasar;
(iv)     sisipan, yang hadir di celahan kata dasar.


1.    Kata terbitan berawalan


*      awalan kata nama
pe- (pelari, perakus)
pem- (pembawa, pembuat)
pen- (pendatang, pendua)
peng- (penggali, penggubal)
penge- (pengebom, pengetin)
pel- (pelajar)
per- (perasap, perbara)
pe- (pesara, pesakit)
ke- (ketua, kelipat)
juru- (juruukur, juruwang)
maha- (mahasiswa, mahaguru)
tata- (tatabuku, tatabahasa)
pra- (prasejarah, prakata)
sub- (subkelas, subsistem)
supra- (suprakelas, supranasional)
eka- (ekabahasa, ekawarna)
dwi- (dwibahasa, dwifungsi)

*      awalan kata kerja
me-  (melawan, merasa)
mem- (membawa, membilang)
men- (mendaki, mendakwa)
meng- (menggali, menggiling)
menge- (mengecat, mengekod)
memper- (memperisteri, memperhamba)
ber- (berjalan, berganti)
be- (beraja, berasa)
bel- (belajar, belunjur)
ter- (terjebak, terbentuk)
di- (diatur, ditimbang)
diper- (diperisteri, dipercepat)

*      awalan kata adjektif
ter- (terbesar, terputih)
te- (teruncing, terendah)
se- (secantik, secerah)

2.  Kata terbitan berakhiran


*      akhiran kata nama
-an (pakaian, jahitan)
-wan (sasterawan, angkasawan)
-man (budiman, seniman)
-wati (seniwati)
-isme (nasionalisme, sosialisme)
-in (hadirin, muslimin)
-at (hadirat, muslimat)
-ah (sultanah, ustazah)

*      akhiran kata kerja
-kan (buatkan, gunakan)
-i (turuti, duduki)

3.  Kata terbitan berapitan


*      apitan kata nama
pe-...-an (pelaksanaan, perasaan)
pem-...-an (pembuatan, pembinaan)
pen-...-an (pentakrifan, pendapatan)
peng-...-an (penggunaan, pengguguran)
penge-...-an (pengehadan, pengesahan)
per-...-an (persalinan, perkuburan)
pel-...-an (pelajaran)
ke-...-an (kelainan, kelebihan)

*      apitan kata kerja
me-...-kan (memainkan, melukakan)
men-...-kan (mendermakan, mentakrifkan)
mem-...-kan (membaharukan, membaikkan)
meng-...-kan (menggunakan, menggandakan)
menge-...-kan (mengepinkan, mengecamkan)
ber-...-kan (beralaskan, berlaukkan)
di-...-kan (dibiarkan, digunakan)
me-...-i (melalui, memasuki)
men-...-i (mencurigai, mendendami)
mem-...-i (membaharui, membohongi)
meng-...-i (menganggotai, menggauli)
di-...-i (didekati, dimulai)
diper-...-kan (diperdengarkan, diperlihatkan)
diper-...-i (diperingati)
memper-...-kan (memperdengarkan, memperjuangkan)
memper-...-i (memperingati)
ke-...-an (kehausan, kepanasan)

*      apitan kata adjektif
ke-...-an (keinggerisan, kearaban)

4.  Kata terbitan bersisipan


*      sisipan kata nama
-el- (kelengkeng, telunjuk, kelabut)
-er- (keruping, seruling, serabut)

*      sisipan kata adjektif
-el- (kelebak, selerak, gelembung)
-er- (serabut, gerigi)
-em- (gemilang, semerbak, gemerlap)
-in- (sinambung)

(Tajuk akan datang:  PEMBENTUKAN KATA (c. Kata Majmuk))


TATABAHASA DEWAN

SIRI 10:       PEMBENTUKAN KATA (c. Kata Majmuk)

Bentuk Kata
Jenis/Keterangan
Contoh
Bentuk Kata Majmuk
Berdasarkan jenisnya, ia dipisahkan kepada tiga kelompok:


(iv)  terdiri daripada rangkaian kata bebas
gambar rajah
biru laut
tengah hari
kuning langsat
Perdana Menteri
Duta Besar
Naib Canselor
Ketua Setiausaha Negara

(v)    berbentuk istilah khusus
model linear
garis pusat
pita suara
kertas kerja
batu kapur

(vi)  mendukung maksud kiasan (simpulan bahasa)
kaki ayam
buah hati
bulan madu
tumbuk rusuk
makan angin

1.  Bentuk yang telah mantap:


*      mantap sebagai satu perkataan yang utuh;
*      dieja sebagai satu perkataan
antarabangsa
beritahu
bumiputera
jawatankuasa
kakitangan
kerjasama
setiausaha
sukarela
suruhanjaya
tandatangan
tanggungjawab
warganegara
pesuruhjaya

Terdapat sejumlah perkataan dalam golongan kata tertentu yang secara lazim dieja bercantum:


*      kata nama
peribadi
peribahasa
hulubalang
dinihari
perikemanusiaan

*      kata adjektif
sukacita
dukacita

*      kata sendi nama
kepada
daripada

*      kata hubung
apabila
manakala
padahal
darihal
barangkali
kadangkala
apakala
walhal

*      kata tanya
bagaimana

2. Penggandaan kata majmuk


*      melibatkan penggandaan unsur pertama sahaja
alat-alat tulis
balai-balai raya
suku-suku kata
jirim-jirim organik
Naib-Naib Canselor
Ketua-Ketua Menteri

Satu kecualian:
*      yang melibatkan bentuk yang telah mantap; penggandaannya melibatkan keseluruhan unsur
pesuruhjaya-pesuruhjaya
warganegara-warganegara
tandatangan-tandatangan
jawatankuasa-jawatankuasa
setiausaha-setiausaha

3. Pengimbuhan kata majmuk


(i)     apabila kata majmuk menerima imbuhan yang merupakan awalan atau akhiran sahaja, ejaannya tetap terpisah
campur aduk à bercampur aduk
litar selari à berlitar selari
ambil alih à mengambil alih
temu bual à ditemu bual
daya serap à daya serapan

(ii)  apabila kata majmuk menerima imbuhan yang merupakan apitan, ejaannya menjadi bercantum
campur aduk à mencampuradukkan
daya serap à kedayaserapan
garis pusat à menggarispusatkan
satu padu à menyatupadukan
urus niaga à diurusniagakan

Peringatan: Kata majmuk tidak menggunakan sempang (-), kecuali ketika penggandaan pada kata ganda.

(Tajuk akan datang: PEMBENTUKAN KATA (d. Kata Ganda))

 
TATABAHASA DEWAN

SIRI 11:       PEMBENTUKAN KATA (d. Kata Ganda)

Bentuk Kata
Jenis/Keterangan
Contoh
Bentuk Kata Ganda
Terdapat tiga jenis penggandaan:



1.  Penggandaan penuh


*      menggandakan keseluruhan kata dasar sama ada kata dasar itu mengandungi imbuhan ataupun tidak
*      penggandaan penuh yang terjadi pada kata dasar yang tidak ada imbuhan menggandakan seluruh kata dasar
*      kata nama yang mengandungi imbuhan juga boleh digandakan sepenuhnya, iaitu termasuk imbuhan sekali





pulau-pulau
buku-buku
cantik-cantik
minum-minum
mata-mata
pemimpin-pemimpin
pelatih-pelatih
persatuan-persatuan
kehendak-kehendak

2.  Penggandaan separa


*      menggandakan sebahagian kata dasar sahaja
*      kata dasar boleh merupakan kata tunggal ataupun kata terbitan
*      penggandaan boleh berlaku di hadapan atau di belakang kata dasar


Penggandaan separa yang berlaku pada kata dasar tunggal lazimnya melibatkan pengulangan suku kata pertamanya, dan letak gandaannya pada bahagian hadapan kata dasar.  Vokal dalam bentuk gandaan itu mengalami proses pelemahan menjadikannya vokal e pepet.
laki à lalaki à lelaki
jari à jajari à jejari
siku à sisiku à sesiku
rambut à rarambut à rerambut
langit à lalangit à lelangit

Penggandaan separa yang berlaku pada kata dasar yang berimbuhan hanya menggandakan kata dasar utama dan tidak melibatkan imbuhannya sekali.
*      berlaku terhadap golongan kata kerja dan kata adjektif
*      boleh terletak di belakang atau di hadapan kata dasar untuk kata kerja tertentu
di belakang kata dasar:
berlari-lari
mencari-cari
berturut-turut
terdiri-diri
sepandai-pandai
di hadapan kata dasar:
kasih-mengasihi
cinta-mencintai
kejar-mengejar
tolong-menolong
bantu-membantu

3.  Penggandaan berentak


*      menggandakan kata dasar mengikut rentak bunyi tertentu dalam kata dasar itu
*      seluruh kata dasar digandakan
*      bunyi-bunyi tertentu diulang atau diubah


Penggandaan berentak boleh dibahagikan kepada tiga jenis:


(i)     penggandaan berentak pengulangan vokal (penggandaan yang mempunyai ciri-ciri persamaan pada bunyi-bunyi vokal tertentu, iaitu terdapat ciri-ciri keharmonian vokal)
sayur-mayur
kuih-muih
selok-belok
lauk-pauk
gotong-royong
cerai-berai

(ii)    penggandaan berentak pengulangan konsonan (penggandaan yang mempuyai ciri-ciri persamaan pada bunyi-bunyi konsonan tertentu)
gunung-ganang
bukit-bukau
mandi-manda
batu-batan
bolak-balik

(iii)   penggandaan berentak bebas (penggandaan yang tidak mengandungi ciri-ciri persamaan pada bunyi vokal atau konsonan)
anak-pinak
saudara-mara
lintang-pukang
titik-bengik

Peringatan: Kata ganda menggunakan sempang (-), berbeza dengan kata majmuk yang tidak menggunakannya.

(Tajuk akan datang:  GOLONGAN KATA)