Monday, February 20, 2012

Teori Pemerolehan Bahasa


. Teori Pemerolehan Bahasa
 Teori Behavioris / Mekanis (B.F. SKINNER)

Teori Behavioris menekankan kepentingan persekitaran dalam pembelajaran bahasa yang berlandaskan Teori Pelaziman Operan yang dipelopori oleh B.F.Skinner (1938). Menurut Skinner, pembelajaran bahasa kanak-kanak berlaku apabila ibu bapa atau ahli keluarga yang lain mengajar kanak-kanak bercakap dan memberi galakan dengan memberi ganjaran setiap kali kanak-kanak dapat meniru atau menyebut perkataan yang diajar itu. Ganjaran yang diberi adalah untuk mengukuhkan sesuatu perlakuan bahasa yang betul yang berjaya dilakukan oleh kanak-kanak. Di antara ganjaran yang diberikan adalah pujian seperti ”pandai”, senyuman, ciuman, tepuk tangan, pelukan, dan lain-lain yang boleh merangsang kanak-kanak bercakap.

B.F. Skinner juga mengatakan bahawa manusia secara semula jadi dilahirkan dengan keupayaan mempelajari bahasa. Keupayaan bertutur adalah satu bentuk perlakuan manusia yang dikenali sebagai perlakuan bahasa yang terbentuk berdasarkan prinsip Teori Behavioris iaitu;

Rangsangan tindak balas

Dalam mempelajari bahasa, persekitaran mempunyai pengaruh yang sangat penting terhadap kanak-kanak. Pengaruh rangsangan persekitaran dalam bentuk bahasa dan bukan bahasa akan membantu kanak-kanak menguasai bahasa dengan lebih cepat. Manakala peneguhan yang diberi akan merangsang kanak-kanak mengulang-ulang percakapannya.


Teori Mentalis/Innatis (NOAM CHOMSKY)

Teori ini dikemukakan oleh Noam Chomsky (1959) yang mengatakan bahawa pemerolehan bahasa berlaku secara mentalis. Menurutnya, kanak-kanak dilahirkan dengan alat pemerolehan bahasa yang bersifat universal. Melalui alat ini kanak-kanak berpotensi secara semula jadi untuk mempelajari bahasa apa sahaja

Chomsky mendasarkan teorinya kepada satu hipotesis iaitu Hipotesis Nurani ( The Innateness Hypothesis) yang mengatakan bahawa otak manusia telah dipersiapkan secara semula jadi (genetik) untuk berbahasa. Otak manusia telah diperlengkapkan dengan struktur bahasa sejagat yang dikenali sebagai LAD ( Language Acquisition Device).

Bagi menguatkan teorinya tentang LAD, Chomsky memberikan empat kenyataan iaitu;

i. proses pemerolehan bahasa semua kanak-kanak boleh dikatakan sama;
ii. proses pemerolehan bahasa ini tidak ada kaitannya dengan kecerdasan (anak yang IQ-nya rendah juga juga memperoleh bahasa pada masa dan cara yang hampir sama );
iii. proses pemerolehan bahasa tidak pula dipengaruhi oleh motivasi atau emosi kanak-kanak ; dan
iv. tatabahasa yang dihasilkan oleh semua kanak-kanak boleh dikatakan sama.

Berkaitan dengan keupayaan sejadi (innate) kanak-kanak dalam mempelajari bahasa ibundanya, Chomsky memberikan tiga hujah berikut;

i. wjujudnya unsur-unsur kesejagatan dalam sesuatu bahasa iaitu kesejagatan formal yang terdiri daripada ciri-ciri tatabahasa dan kesejagatan substantif yang berupa kategori-kategori tatabahasa;
ii. bentuk-bentuk ujaran yang didengari kanak-kanak tidak akan diperolehinya tanpa keupayaan sejadi; dan
iii. kanak-kanak boleh menguasai bahasa ibundanya dalam tempoh 4 hingga 5 tahun dan tanpa keupayaan sejadi bahasa itu tidak akan dikuasai.


Teori Kognitif (JEAN PIAGET)

Teori Kognitif berlandaskan pandangan Piaget seorang ahli psikologi berbangsa Swiss. Menurut Piaget, perkembangan bahasa kanak-kanak berkait rapat dengan perkembangan mentalnya. Malah beliau berpendapat bahawa bahasa kanak-kanak itu adalah manifestasi penting daripada perkembangan mentalnya. Untuk memperoleh penguasaan bahasa seseorang kanak-kanak perlu melalui beberapa peringkat perkembangan kognitifnya.

Peringkat pertama dikatakan sebagai peringkat deria-motor iaitu kanak-kanak berumur dalam lingkungan 18 bulan hingga 2 tahun. Pada peringkat ini kanak-kanak membentuk skemata atau struktur kognitif hasil daripada interaksi yang aktif dengan persekitaran. Pengetahuan digambarkan dalam pelbagai bentuk simbolik. Dari umur 2 hingga 7 tahun, kanak-kanak memasuki peringkat tahap pemikiran praoperasi konkrit. Dalam peringkat ini penguasaan bahasa kanak-kanak semakin berkembang. Dalam lingkungan umur 4 tahun kanak-kanak sudah mula pandai bercakap dan boleh membentuk ayat serta memahami percakapan orang lain. Peringkat ketiga adalah operasi konkrit (7 – 12 tahun) iaitu sudah dapat menguasai beberapa kemahiran seperti hukum pengekalan, konsep hubungan, pengkategorian, dan persirian. Umur selepas 12 tahun dikatakan sebagai peringkat operasi formal.

No comments:

Post a Comment