Friday, January 13, 2012

PENDIDIKAN PEMULIHAN: DISLEKSIA


BAHAGIAN 1 – PENDIDIKAN PEMULIHAN : DISLEKSIA


BAB 1 – PENDIDIKAN DISLEKSIA

Pengenalan

BAB ini akan membincangkan disleksia dari sudut definisi, konsep, sejarah perkembangannya, dan punca kuasa yang memacu pelaksanaan program pendidikan disleksia di negara kita. Program ini dilaksanakan sejajar dengan aspirasi Pendidikan Negara yang menuntut pendidikan sewajarnya diberikan kepada semua golongan tanpa mengira agama, bangsa, kaum, keturunan, warna kulit, dan seumpamanya. Oleh sebab itu, pendidikan disleksia diwujudkan bagi mendepani cabaran untuk memastikan kanak-kanak bermasalah pembelajaran spesifik disleksia mendapat pendidikan yang setaraf dengan kanak-kanak normal.

Berdasarkan perangkaan 2001, Kementerian Pendidikan Malaysia menganggarkan bahawa seramai 290,000 murid sekolah daripada 4.9 juta murid berkemungkinan memiliki ciri-ciri Masalah Pembelajaran Spesifik (SPLD), Disleksia (KPM 2000). Empat peratus daripada populasi dunia adalah signifikan memiliki simptom-simptom disleksia (Musa 2002). Kanak-kanak berkeperluan khas termasuk kanak-kanak disleksia juga memerlukan pendidikan yang sempurna dan berkesan dalam memastikan mereka dapat meneruskan kehidupan yang bermakna.
Pendidikan khas semakin diberi perhatian sejak penggubalan semula Akta Pendidikan 1961 kepada Akta Pendidikan 1996. Akta ini telah menyediakan klausa khusus berkaitan Pendidikan Khas, iaitu:
“Pelaksanaan Dasar Pendidikan Wajib pada Peringkat Rendah 2003 melalui perintah Pendidikan (Pendidikan Wajib) 2002 yang memberi peluang kepada semua warga Malaysia yang layak mengikut umur 6 tahun mendapat pendidikan di institusi yang disediakan oleh pihak kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia.”
Sistem pendidikan ini menyediakan peluang kepada semua rakyat dalam lingkungan umur kelayakan mendapat pendidikan secara percuma. ‘Dasar Pendidikan Untuk Semua’ serta ‘Dasar Pendemokrasian Pendidikan’ yang dilancarkan sebelum ini akan diperkukuh lagi oleh pelaksanaan ‘Dasar Persekolahan Wajib’ tersebut.

Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Jabatan Pendidikan Khas yang diwujudkan pada 1998 secara langsung mengendalikan pengurusan pendidikan bagi kanak-kanak Bermasalah Pendengaran (Pekak), Bermasalah Penglihatan (Rabun dan Buta), dan Bermasalah Pembelajaran. Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran adalah program yang mencakupi kanak-kanak Syndrome Down, kanak-kanak autistik ringan, kanak-kanak kurang keupayaan mental (learning disabilities), kanak-kanak bermasalah emosi, kanak-kanak bermasalah kesihatan serta kanak-kanak berkecelaruan bahasa dan pertuturan (Blue Print Kurikulum Jabatan Pendidikan Khas, 2001).

No comments:

Post a Comment