Friday, January 13, 2012

PENDIDIKAN PEMULIHAN: DISLEKSIA

-sambungan-

Drake (1989) menyatakan bahawa masalah disleksia dirujuk pada beberapa ciri. Antaranya ialah kesukaran belajar berbahasa, ketidakseimbangan dan kebolehan intelektual, tidak lancar membaca sesuatu bahan bercetak, tidak dapat menulis dengan lancar dan tepat (kesukaran meniru tulisan pada papan tulis atau buku), mata menjadi penat setelah beberapa minit menumpu pada tulisan, dan tumpuan yang terhad (pendengaran dan pengamatan visual). Murid yang lemah dalam pembelajaran seperti mengalami ‘disleksia perkembangan’ ialah kanak-kanak yang kurang baik membaca berbanding kanak-kanak yang lebih muda daripadanya. Mereka kerap kali ditempatkan di kelas pemulihan khas. Kelas pemulihan khas diwujudkan bagi mengatasi kegagalan menguasai kemahiran 3M, iaitu membaca, menulis dan mengira.

Kanak-kanak disleksia yang ditemui sering mengalami masalah dalam aktiviti membaca. Akibatnya mereka ditempatkan di Kelas Pemulihan Khas atau Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran bagi mengikuti proses pembelajaran. Disleksia ialah kesukaran atau ketidakupayaan menguasai kemahiran membaca oleh seseorang individu walaupun telah menerima pendidikan yang mencukupi (Mercer 1997 & Smith 1999).

Pada masa kini, kanak-kanak disleksia tidak mendapat perhatian yang khusus dalam pendidikan normal dan pendidikan khas. Musa (2001) menyatakan bahawa kanak-kanak disleksia kerap kali ditempatkan bersama-sama kanak-kanak di kelas Pemulihan Khas. Anuar (2001) menyatakan bahawa kanak-kanak disleksia juga ditempatkan di dalam Kelas Bermasalah Pembelajaran. 
*Catatan: Penulis blog ini adalah penulis buku Pendidikan Disleksia. Pembaca blog ini boleh membuat pesanan melalui laman blog ini.
-Penulis-

No comments:

Post a Comment