Monday, January 23, 2012

WAJ3104 LITERASI BAHASA


KESEDIAAN MEMBACA


KONSEP
Kesediaan membaca bermaksud kemampuan seseorang untuk menerima pengajaran dari segi mental, emosi dan fizikal. Secara luas, kesediaan membaca melibatkan sebarang aktiviti sebelum sesuatu peringkat bacaan dimulakan, sama ada di peringkat mendirikan asas, mengukuhkan asas mahupun peringkat-peringkat lain yang lebih tinggi.
      Secara khusus, iaitu untuk kanak-kanak yang belum didedahkan dengan sebarang aktiviti bacaan, kesediaan membaca merangkumi kebolehan fizikal, emosi dan mentalnya untuk menerima pengajaran bacaan asas. Dari segi fizikal kemampuan kanak-kanak dapat dilihat dari sudut keupayaan alat-alat sebutannya menghasilkan bunyi-bunyi yang akan diajarkan, keupayaan matanya mengecam bentuk, dan keupayaan pendengarannya mengecam bunyi-bunyi. Dari segi emosi, kemampuan kanak-kanak dapat dilihat dari segi minatnya terhadap bahan-bahan bacaan (seperti bermain dengan bahan bacaan, membelek-belek bahan bacaan, melihat bahan bacaan, dan berminat melihat orang di sekitarnya membaca) dan minatnya untuk mendengar bacaan, khususnya yang berupa cerita. Dari segi mental, kemampuan kanak-kanak dapat dilihat dari segi keupayaannya mengingat apa-apa yang diberitahu dan kebolehannya menyatakan semula apa-apa yang telah diketahuinya.
      Dari segi umur, ada kanak-kanak bersedia membaca seawal umur empat tahun dan ada pula kanak-kanak hanya bersedia membaca setelah berumur enam tahun. Selain faktor fizikal, emosi dan mental, faktor persekitaran amat mempengaruhi kesediaan kanak-kanak membaca. Sebagai contoh, kanak-kanak yang terdedah dengan pelbagai jenis bahan bacaan sejak lahir, sentiasa melihat orang di sekeliling membaca dan ada pula orang yang membacakan buku cerita untuknya akan lebih cepat bersedia membaca berbanding dengan kanak-kanak sebayanya yang tidak mendapat peluang yang sama.
      Syed Abu Bakar (1994) menyatakan bahawa peringkat kesediaan membaca sangat penting. Menurutnya, “Jika tahap ini tidak dicapai terlebih dahulu, usaha untuk mengajarkan kemahiran membaca bukan sahaja sia-sia, malah boleh menimbulkan kesan yang amat buruk kepada kanak-kanak, ibu bapa dan guru.” Beliau berpendapat, konsep kesediaan membaca ini samalah dengan keadaan semula jadi yang dialami oleh kanak-kanak dalam perkembangan otot-otot tubuh mereka. Umpamanya sebelum mereka boleh berjalan, mereka perlu meniarap, merangkak dan berdiri terlebih dahulu. Kebolehan menggerakkan otot-otot tertentu mengikut urutan sebelum berjalan dapat dianggap sebagai pecahan kemahiran berjalan. Keadaan yang sama berlaku untuk kemahiran membaca, cuma bentuknya berbeza. Berdasarkan pandangan Syed Abu Bakar ini dapat kita rumusan perbandingan perkembangan kanak-kanak dengan peringkat-peringkat bacaan seperti yang di bawah.
berlari         =    mahir membaca peringkat inggi
   ñ                              ñ
berjalan       =    mahir membaca peringkat rendah
   ñ                              ñ
berdiri         =    aktiviti pengukuhan kemahiran asas membaca
   ñ                              ñ
merangkak  =    aktiviti mendirikan kemahiran asas membaca
   ñ                              ñ
meniarap     =    aktiviti kesediaan membaca      
AKTIVITI KESEDIAAN MEMBACA
Syed Abu Bakar (1994) mengkategorikan aktiviti kesediaan membaca kepada dua, iaitu peringkat prabacaan dan peringkat bacaan. Peringkat prabacaan meliputi kemahiran pengamatan pendengaran, kemahiran pengamatan penglihatan, aktiviti koordinasi psikomotor, latihan menajamkan daya ingatan, dan latihan bahasa pertuturan. Peringkat bacaan meliputi kemahiran mengenal abjad hingga membaca ayat.
      Menurut Ismail Zakaria, Salmah Othman dan Elly, Chong (1992) pula, tahap prabacaan merupakan satu tempoh menyediakan murid untuk membaca. Dengan perkataan lain, makna istilah tahap prabacaan dan kesediaan membaca adalah sama. Pada tahap ini murid didedahkan kepada aktiviti-aktiviti yang boleh mendorong mereka mempertingkatkan ketajaman penglihatan dan pendengaran. Penekanan juga perlu diberi kepada pengalaman yang membolehkan murid membentuk kelaziman membaca dari kiri ke kanan dan dari atas ke bawah. Untuk mencapai tujuan ini, aktiviti-aktiviti yang terdapat dalam Buku Sumber Bahasa Malaysia Tahun 1 (1983) dapat dimanfaatkan oleh para guru. Tiga kategori aktiviti disediakan, iaitu pengamatan penglihatan, pengamatan pendengaran, dan pergerakan tangan dan mata.

     
AKTIVITI PENGAMATAN PENGLIHATAN
Aktiviti Pengamatan Penglihatan 1
Menghimpun gambar benda maujud yang sama jenis, warna dan saiz.
Bahan
Pelbagai gambar kereta, baju, buku, lain-lain.
Aktiviti Murid
Murid mengelaskan gambar yang telah dicampuradukkan oleh guru. Aktiviti ini dilaksanakan secara individu, kelas dan kumpulan

Aktiviti Pengamatan Penglihatan 2
Menggunting dan menampal berbagai-bagai gambar mengikut tajuk di papan kenyataan atau di buku skrap kelas.
Bahan
Gambar benda hidup, benda bukan hidup, benda yang boleh dimakan, benda yang tidak boleh dimakan, pakaian, dan alat tulis-menulis.
Aktiviti Guru/Murid
1.     Guru berbincang dengan murid tentang benda hidup dan benda bukan hidup.
2.     Murid menyebut “benda hidup” atau “benda bukan hidup” sebagai respons terhadap kad benda yang diimbaskan oleh guru.
3.     Guru memberi murid kad gambar dan murid melekatkan kad itu di papan kenyataan mengikut tajuknya seperti benda hidup, pakaian, alat tulis-menulis dan lain-lain.
4.     Murid menggunting gambar dan menampalkannya dalam buku skrap mengikut tajuk tertentu.

AKTIVITI PENGAMATAN PENDENGARAN
Aktiviti Pengamatan Pendengaran 1
Mengetuk benda satu persatu untuk mendapatkan pelbagai bunyi dan mengecam perbezaan bunyinya.
Bahan
Paku, tin, batang kayu, meja, tempurung, batu.
Aktiviti Guru/Murid
1.     Guru memperkenalkan benda-benda yang menghasilkan bunyi seperti tin, paku, tempurung, batang kayu, meja dan batu.
2.     Guru mengetuk benda itu satu persatu beberapa kali dan murid mendengarnya.
3.     Guru mengetuk dua benda yang berlainan. Murid menyatakan sama ada bunyi benda itu sama atau tidak.
4.     Murid menyanyi lagu “Mari Bergembira” dengan meniru nyanyian daripada pita rakaman atau nyanyian guru sendiri.

Aktiviti Pengamatan Pendengaran 2
Mendengar rakaman dan menyatakan bunyi-bunyi alam seperti bunyi air mengalir, air menitik, angin kencang, angin menderu, petir, hujan lebat, dan ombak.
Bahan
Pita rakaman yang mengandungi bunyi air mengalir, air menitik, angin kencang, angin menderu, hujan lebat, dan ombak. Beberapa gambar carta yang dapat disesuaikan dengan bunyi-bunyi yang diperdengarkan.
Aktiviti Guru/Murid
1.     Guru memperdengarkan bunyi-bunyi daripada pita rakaman.
2.     Rakaman bunyi-bunyi itu diperdengarkan sekali lagi dan murid menyatakan jenis bunyi itu.
3.     Murid-murid lain memilih gambar yang sesuai dengan bunyi yang dinyatakan.


AKTIVITI PERGERAKAN TANGAN DAN MATA
Aktiviti Pergerakan Tangan dan Mata 1
Membentuk benda daripada plastisin, tanah liat atau bubur kertas dan lain-lain.
Bahan
Plastisin, tanah liat, dan bubur kertas.
Aktiviti Guru/Murid
1.     Buat satu atau dua benda daripada bahan yang diberi sebagai contoh.
2.     Berikan bahan kepada murid dan minta mereka membentuk benda atau model yang disukainya.
3.     Minta murid menceritakan hasil kerja mereka.

Aktiviti Pergerakan Tangan dan Mata 2
Melakar bentuk yang sesuai dari kiri ke kanan, dari kanan ke kiri dan dari atas ke bawah untuk membolehkan membentuk huruf.
Bahan
Lembaran kerja, benda maujud (dulang berpasir, model pokok, model tiang bendera, bola, manik, cawan, air), kertas pendua yang mengandungi perjalanan atau arah yang dibuat dengan garisan putus-putus.
Aktiviti Murid
1.     Murid menggolekkan bola di atas dulang berpasir dengan jari dari kiri ke kanan dan sebaliknya.
2.     Murid memegang cawan plastik yang penuh dengan air dengan tangan kanan dan menggerak-gerakkan tangan kanan mereka kiri ke kanan dan sebaliknya. Teknik memegang cawan dipelbagaikan.
3.     Murid membilang manik yang digantung dengan menggunakan jari dari atas ke bawah dan dari bawah ke atas.
4.     Murid melakar garis pada dulang pasir dari model pokok ke tiang bendera.

Oleh Mohd. Isa bin Abd. Razak


No comments:

Post a Comment